Rabu, 30 September 2009

Fenomena khalwat!
Dalam situasi masyarakat hari ini, tingkahlaku atau perbuatan yang ditegah oleh Islam berlaku dengan begitu berleluasa seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Contohnya dalam isu berkhalwat. Istilah khalwat pada zaman Rasulullah bermaksud bersunyi-sunyi seorang diri seperti dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di Gua Hira’. Tetapi, istilah khalwat kini lebih masyur dengan maksud berdua-duaan antara lelaki dan perempuan di tempat yang sunyi dalam keadaan syak. Khalwat dengan maksud yang difahami umum di negara ini merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang jenayah syariah.
Menurut pensyarah di Jabatan Syariah, fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Puan Che Maryam Ahmad, asas kepada larangan berkhalwat adalah daripadsa ayat Al-Quran yang bermaksud “ Janganlah kamu menghampiri Zina”. Jelasnya lebih lanjut terdapat dua perkara yang perlu diawasi manusia iaitu, nafsu dan syaitan. Dua unsur ini menguatkan tarikan ke arah perkara-perkara yang tidak elok dan apabila seseorang itu mendedahkan dirinya dengan suasana yang memudahkan kedua-dua unsur mempengaruhi mereka maka syaitan akan memainkan peranannya.
Inilah yang menjadi asas kepada larangan membiarkan lelaki dan wanita berdua-duaan ditempat sunyi atau kawasan tertutup. Undang-undang telah dibuat untuk menghalang daripada zina bukan semata-mata melarang khalwat sahaja.
Kaedah yang digunakan oleh para ulamak ialah sad as zaraie’ atau yang bermaksud menutup jalan yang menjurus kepada keburukan. Dalam melaksanakan undang-undang ini, Islam melarang para pelaku maksiat atau khalwat mendedahkan identiti mereka yang melakukan perkara tersebut kepada umum kerana hal ini boleh mengaibkan. Larangan mengaibkan, atau seruan menutup keaiban orang lain dinyatakan secara jelas di dalam hadis Rasulullah s.a.w. sabda baginda “ Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaiban dirinya diakhirat kelak”.
Begitu juga dengan perbuatan menghendap, mengintai atau mengintip, adalah dilarang oleh Islam. Dalam kes zina contohnya, Islam telah menetapkan empat orang saksi yang terserempak dengan perbuatan itu bukannya menghendap atau mengintai tetapi secara tidak sengaja ternampak perkara terseburt berlaku. Dalam keadan ini secara logiknya, pelakuan zina yang boleh disaksikian oleh empat orang saksi secara jelas, besar kemungkinan dilakukan di tempat terbuka dan pelakunya sewajarnya dihukum.
Selain itu di dalam Islam juga terdapat hukuman Qazaf atau menuduh orang yang baik melakukan zina. Ini merupakan satu langkah untuk mencegah perbuatan tuduh-menuduh berlaku di dalam masyarakat dan mengaibkan pihak tertuduh.
Islam menetapkan empat orang saksi yang terdiri daripada lelaki yang betul-betul melihat perbuatan zina tersebut. Jika tidak dibawa saksi yang cukup, maka lelaki tersebut akan dikenakan qazaf. Undang-undang Islam menitik beratkan dua perkara iaitu pencegahan dan hukuman, sesetengah hukuman yang ditetapkan di dalam Islam seolah-olah dianggap kejam misalnya bagi penzina yang telah berkahwin dikenakan hukuman rejam. Tetapi tujuannya yang sebenar adalah untuk member peringatan kepada orang lain dan mencegah orang lain daripada berzina.
Sesungguhnya hukum Allah mempunyai sifat kegerunan yang mana apabila melaksanakannya adalah satu ibadat dan bagi mereka yang menjalaninya akan terlepas dari hukuman di akhirat kelak. Hukuman itu bukan sahaja menghalang pelakunya dan orang lain daripada membuat jenayah tersebut tetapi melindungi mereka daripada azab Allah kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan