Jumaat, 2 Oktober 2009

KONSEP BLOG
Saya telah menamakan blog ini sebagai “Persinggahan Sementara”. Apa yang ingin dikongsi mengenai konsep blog ini ialah kehidupan yang sedang kita lalui ini hanyalah untuk sekejap waktu yang mana kita sendiri tidak pasti bilakah penghujungnya. Ketika masih kecil, tidak pernah terfikir bahawa kehidupan di dunia ini amat sukar untuk di lalui. Kehidupan kita di kala kecil banyak ditentukan oleh orang tua kita. Pada waktu itu, kita hanya meniti perjalanan di dunia yang fana ini dengan dipimpin tangan oleh orang tua kita. Apabila masa berlalu dari detik ke saat, bertukar minit ke jam dan dari hari pergi ke minggu sehinggalah ke tahun, sampailah kini kita telah pun dewasa. Saat ini apa sahaja yang ingin kita laksanakan, kita sendiri yang memikirkannya. Kita yang memilih untuk mencorakkan kehidupan ini samada mengikut syariat Islam atau memilih suatu corak hidup yang tiada peraturan. Kadang-kadang, manusia itu terlupa bahawa kehidupan yang teramat selesa dirasakan ini, hanyalah untuk sementara. Setiap amal perbuatan kita akan diperhitungkan di suatu kehidupan yang kekal abadi kelak. Manusia sering kali terleka untuk memperbaiki diri sehingga merasakan setiap amal yang ada pada diri sendiri sudah cukup untuk membela diri mereka di alam akhirat nanti. Marilah kita sama-sama, membajai setiap amal kebaikan dan ilmu-ilmu yang bermanfaat di persinggahan ini, agar ianya subur untuk kita pungut dan buktikan pada yang Esa kelak.
AKIDAH KEKUATAN MASYARAKAT
Akidah begitu berperanan dalam membentuk jati diri dan akhlak seseorang individu. Akidah jugalah yang menentukan kekuatan sebuah masyarakat. Penghayatan terhadap akidah membolehkan manusia menggunakan segala kekuatan yang ada untuk membuat perubahan ke arah yang lebih maju.

Dari aspek pemikiran:- Akidah Islam akan mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kejahilan kepada cahaya iman. Dengan itu, seseorang itu akan menggunakan seluruh tenaganya menimba ilmu pengetahuan dan mengambil pengajaran daripada ayat-ayat Allah. Mereka akan meninggalkan taqlid buta dan berpegang kepada ilmu dan keiman.

Dari aspek kemasyarakatan:- Akidah Islam mampu mewujud dan menguatkan hubungan silaturrahim antara anggota masyarakat tanpa mengira warna kulit, atau keturunan. Oleh itu, penghayatan akidah akan menjadikan masyarakat Islam sebaik-baik umat.

Dalam aspek akhlak:- akidah Islam mampu menggerakkan manusia ke jalan yang lurus dengan menanam rasa takut kepada Allah dan mengingati balasan pahala dan dosa atas perbuatan yang dilakuakn. Situasi ini akan menyuburkan akhlak mulia dalam kalangan masyarakat.
Sesungguhnya akidah merupakan penggerak kepada umat Islam untuk terus maju dalam apa jua bidang sekalipun.

ISU PENUNTUT iSLAM DI IPT
Dewasa ini, penuntut Islam di IPT sering di kaitkan dengan tingkah laku dan sahsiah. Perbuatan atau tingkah laku yang di pamerkan seolah-olah agama kita ini tidak ada contoh tauladan atau petunjuk dari mana-mana pihak. Sedangkan di dalam agama kita telah Allah utuskan Rasul mulia yang agung budi pekertinya untuk kita contohi.
Sebagai seorang yang diberi kelebihan dari individu lain di luar sana kita seharusnya bijak dalam membawa atau mengawal perwatakan kita. Kita diberi kelebihan untuk berada di gedung ilmu dan sewajarnya kita menghayati dan menggunakan sebaiknya kemudahan yang diberikan ini. Kita tidak perlu untuk menuding atau mengajar orang lain sebalikmya, kita haruslah bermula dengan diri kita terlebih dahulu.
Sebagai seorang pelajar muslim, kita seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat lain. Tidak kira dari apa segi sekalipun, kita harus menunjukkan yang terbaik seperti yang di anjurkan di dalam agama kita yang Syumul.
“Jadikan Rasul itu contoh panduan terbaik kita. Marilah kita sama-sama hayati dan telusuri peribadi mulia baginda. Ibaratkan cermin yang kita lihat itu, di dalamnya ada contoh peribadi mulia Rasulullah s.a.w.. Bersama-sama kita bulatkan tekad, kuatkan azam dan seru pada hati supaya bersemangat untuk menjadi seperti baginda, kita boleh dan memang boleh, kerana kita ada kelebihan yang lebih dari insan di luar sana…Insyaalah ”


Mendidik jiwa si kecil berpuasa...
Anak-anak merupakan anugerah Allah yang sangat berharga bagi setiap insan yang memilikinya. Tidak semua insan di dunia ini dianugerahkan anak oleh Allah s.w.t.. Jadi bagi mereka yang mempunyai anak harus bersyukur di atas pemberian dari Allah ini. Setiap ibu bapa itu adalah berperanan dalam mendidik anak-anak dan mereka wajib memberi didikan dan asuhan yang sempurna mengikut syariat yang telah digariskan oleh Al-Quran danAs-Sunnah.
Di sini, saya ingin membincangkan tentang galakan berpuasa dalam kalangan anak-anak. Anak-anak harus di ajar berpuasa bermula dari mereka masih kecil. Walaupun di dalam Islam itu puasa tidak diwajibkan bagi mereka yang belum baligh, tetapi untuk mendidik hati mereka untuk berpuasa harus bermula ketika mereka masih kecil.
Ibu bapa dan orang dewasa adalah contoh kepada anak-anak. Kesolehan jiwa dan perilaku kedua ibu bapa memberi pengaruh yang besar dalam membentuk kesolehan anak-anak.
Terdapat beberapa panduan atau kaedah untuk mendidik jiwa anak-anak kecil berpuasa. Antaranya:


-Menceritakan tentang kelebihan berpuasa.
-Menceritakan tentang sejarah wajib berpuasa.
-Melatih anak-anak berpuasa secara beransur-ansur.
-Melatih anak-anak berpuasa dengan bersahur.
-Jadikan waktu berbuka puasa suatu majlis yang ceria.

Khamis, 1 Oktober 2009

Pembentukan Keluarga Islam

Praktikalnya, pendidikan di peringkat keluarga merupakan elemen yang cukup penting dalam melahirkan individu muslim sejati. Di sini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan sebaik mungkin dalam menyediakan medium tarbiyah yang terbaik untuk anak-anak. Kegagalan pendidikan di peringkat keluarga akan menjurus kepada masalah yang boleh diibaratkan seolah berantai yang akhirnya akan merugikan umat Islam secara amnya. Justeru, pendidikan yang sempurna adalah bermula dari rumah. Terdapat beberapa panduan yang praktikal yang boleh diamalkan oleh ibu bapa dalam usaha pembentukan keluarga yang harmoni dan sejahtera berlandaskan syariat Islam. Antaranya:

-Setiap perkara kebaikan itu bermula dengan pelaksanaan yang dillakukan oleh ibu bapa terlebih dahulu. hal ini akan dicontohi oleh setiap ahli dalam keluarega tersebut.
-Tidak kira ibu atau bapa haruslah tegas dalam menetapkan hukuman ke atas kesalahan anak-anak. Ketegasan itu haruslah ada batasannya.
-Ibu bapa haruslah mengawasi setiap perbuatan atau tingkah laku anak-anak bermula dari dalam rumah sehingga mereka ke luar rumah dan balik semula ke rumah. Setiap ibu bapa itu, tidak wajar berasa yakin dengan setiap tindakan anak-anak mereka sebaliknya menyimpan sedikit rasa syak atas setiap perbuatan anak-anak.
-Bermula dari rumah lagi, ibu bapa perlu mendididk anakanak cara penutupan aurat dan berpakaian mengikut Islam terutamanya bagi anak perempuan.
-Anak-anak harus diberi pendidikan cara untuk mereka melayan tetamu yang bertandang ke rumah. Hal ini untuk mengelakkan mereka bersikap sombong dan tidak menghormati orang yang lebih tua.


Politik Islam dalam berhadapan Isu Pembesaran Rumah Ibadat
Pembesaran rumah ibadat yang berlaku di Selangor mendapat pelbagai reaksi. Ada yang gembira dan ada yang memendam rasa marah. Ada juga yang berpendapat pembinaan rumah ibadat perlulah seimbang dengan jumlah penganutnya. Jika nisbahnya tidak rasional ia haruslah dibantah.
Gabungan Mahasiswa Islam seMalaysia (GAMIS) berpendapat sebelum menimbulkan persoalan sensitiviti orang Melayu mengenai saiz rumah ibadat ini, umat Islam seharusnya bertanya kepada diri sendiri “apakah perananmereka dalam memakmurkan masjid?”
Adalah memalukan jika orang melayu sibuk membantah mengenai saiz rumah-rumah agama lain, sedangkan masjid yang begitu banyak dan besar saiznya tidak dimanfaatkan. Peranan masjid sebagai tempat mengumpulkan umat Islam hanya berlaku pada hari Jumaat sahaja. Sedangkan masjid sepatutnya dikunjungi setiap hari berasaskan fungsinya untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Ayuh kita sama-sama fikirkan yang mana lebih menyentap hati umat Islam- MASJID YANG DIBINA TIDAK DIHORMATI OLEH UMAT ISLAM SENDIRI ATAU ISU PEMBESARAN RUMAH IBADAT AGAMA LAIN?
Setiap parti politik samada pihak kerajaan atau pembangkang mestilah bertoleransi dalam melakukan sebarang tindakan demi menjaga keharmonian dan masa depan rakyat. Janganlah kita asyik mengkritik tindakan orang lain yang bukan seagama dengan kita sebaliknya awasilah setiap tindakan umat kita. Islahlah sesame umat islam untuk kita sama-sama berdakwah kepada yang bukan Islam daripada kita terus menyaingi mereka.

Sebenar-benar Ilmu...


ILMU yang sebenar-benarnya ialah ilmu yang mendekatkan diri kita dengan Allah S.w.t. tidak kiralah ilmu akhirat seperti tauhid atau ilmu dunia seperti matematik, kerana kedua-dua ilmu ini mengajar kita mengenai kewujudan dan kekuasaan Allah. ini selaras dengan Imam Syafie,


"Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatkanmu cemerlang di dunia dan akhirat di samping ia merupakan amalan para Nabi, Rasul dan orang-orang yang soleh."


Ilmu yang dimiliki oleh seseorang menjadikan mereka berketerampilan dan berwibawa.


Namun sebaik-baik ilmu itu, haruslah dihayati dan diamalkan agar boleh menjadi penyuluh jalan kearah kebenaran dalam mengharungi kehidupan di dunia sementara ini.

Rabu, 30 September 2009

Kelebihan Menziarahi Orang Sakit
Kelebihan menziarahi orang yang sedang sakit diibratkan seperti “Memetik buah-buahan di dalam Syurga dan dijanjikan pahala yang bnyak oleh Allah s.w.t.” Islam amat menitik beratkan hubungan silaturahim antara anggota masyarakat. Oleh itu, Islam sangat menggalakkan umatnya menziarahi orang yang sedang sakit untuk memastikan hubungan silaturahim terus bertaut. Di samping itu, dengan menziarahi orang sakit dapat mengurangkan kerisauannya tentang penyakit yang dihidapinya.
Di antara kelebihan menziarahi orang sakit:
1. malaikat akan mendoakan kita.
Abu Hurairah ada menceritakan, Nabi Muhammad pernah bersabda, “ Sesiapa yang pergi melawat orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, maka malaikat akan mendoakan kamu, kamu melaksanakan kebaikan. Perjalanan kamu adalah perjalanan yang baik dan kamu akan masuk syurga.” (Hadis Hassan direkodkan oleh Imam Tirmizi.)
2. seperti berada di dalam syurga
Dalam hadis yang lain nabi Muhammad s.a.w. mengibaratkan orang yang menziarahi orang sakit seperti sedang berada di dalam syurga. Thauban melaporkan Nabi Muhammad bersabda, “ Apabila seorang muslim melawat seorang muslim lain yang sedang sakit atau cedera, beliau seolah-olah berada di tempat menuai di dalam syurga sehinggalah kamu pulang.” Nabi menjelaskan maksud daripada hadis ini ialah, di dalam syurga itu dipenuhi pokok yang sedang berbuah dan boleh dpetik. Tuntutan mengabaikan menziarahi orang sakit sangat dibenci oleh Allah s.w.t.

BANDAR ISLAM

Menurut pandangan daripada Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin sesebuah Bandar Islam itu tidak bergantung kepada penduduknya semata-mata. Ia merangkumi cirri dan aspek pembinaan serta kehidupan masyarakat yang mendiaminya. Sesebuah Bandar Islam itu menekankan aspek Islam seperti kesejahteraan, keharmonian, keselamatan, serta kebersihan yang mana aspek-aspek tersebut dibina selaras dengan syariat Islam.
Sesebuah bandar Islam tidak semestinya berada di Negara Islam dan dihuni oleh orang Islam semata-mata. Sekiranya sesebuah Bandar itu berada di luar Negara Islam tetapi mementingkan konsep Islam seperti kebersihan, kesejahteraan, keharmonian, keselamatan, ketenangan dan lain-lain lagi yang sama dengan syariat Islam, maka ia berkonsepkan kepada Bandar Islam. Tetapi sekiranya sesebuah Bandar itu kotor, berlaku ketegangan seperti system jalan raya yang sentiasa sesak dan aspek keselamatan yang longgar, maka ia bukanlah cirri-ciri Bandar Islam. Inilah yang menjadi perkara pokok dalam melihat konsep sesebuah Bandar Islam itu.
Sesuatu yang perlu difikirkan ialah perancangan ke arah bandar Islam itu perlu berlaku secara konseptual yang mementingkan kesejahteraan penduduknya dan kleharmonian penduduk yang mendiaminya. Sesebuah Bandar yang sesak dan tidak terkawalm akan menyebabkan nilai-nilai hidup masyarakat menjadi kucar-kacir. Di sinilah pentingnya aspek perancangan bandar itu, dan tanggungjawab ini merupakan satu ibadah.
Keusahawanan di dalam Islam

Keusahawanan merupakan satu bidang yang sangat digalakkan oleh Islam. Islam amat menggalakan umatnya keluar mencari rezeki di atas muka bumi Allah yang luas ini. Islam melarang umatnya hidup meminta-minta , sebaliknya berusaha sendiri untuk mernyara keluarga. Hal ini ditunjuk oleh Rasulullah dan Abdul Rahman bin Auf yang merupakan usahawaan yang berjaya di zaman dahulu.
Keusahawana merupakan satu ibadah yang mana ia terikat dengan beberapa peraturan yang wajar dipatuhi dan pada hakikatnya, ia membawa kepada kebaikan. Secara prinsipnya,system keusahawanan Islam menurut perspektif Islam mengandungi garapan tentang prinsip-prinsip muamalah yang bersifat dinamis dan dikodifikasikan sebagai peraturan perekonomian yang sentiasa memenuhi kehendak dan realiti sosioekonomi masyarakat semasa.
Dalam disiplin perundangan Islam, persoalan keusahawanan Islam lazimnya diklafikasikan dibawah komponen fikah muamalah. Dalam perbincangan disiplin tersebut ia menjelaskan tentang interaksi muamalah manusia secara global berasaskan doktrinisasi tauhid iaitu konsep hablumminannas dan hablumminallah. Melalui proses ini kepentingan peribadi manusia dapat diselaraskan secara harmoni dengan kepentingan umum masyarakat yang berpotensi untuk mewujudkan keadilan dan nilai-nilai murni dalam sistem keusahawanan Islam.
Sehubungan dengan itu, keunikan yang terdapat dalam system keusahawanan Islam disebabkan ia bukan hanya berasaskan kepada observed principles (wahyu). Kombinasi kedua-dua elemen tersebut membentuk disiplin keusahawanan yang bercitrakan Islam, dan menjadi panduan dan peraturan kepada gelagat hidup manusia untuk berinteraksi sesama manusia dan Pencipta.
Secara tidak langsung ia dapat membentuk blueprint economy yang strategikdan dalam masa yang sama masyarakat Islam dapat mengelakkan kegiatan ekonomi yang menyimpang daripada prinsip Islam
Fenomena khalwat!
Dalam situasi masyarakat hari ini, tingkahlaku atau perbuatan yang ditegah oleh Islam berlaku dengan begitu berleluasa seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Contohnya dalam isu berkhalwat. Istilah khalwat pada zaman Rasulullah bermaksud bersunyi-sunyi seorang diri seperti dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di Gua Hira’. Tetapi, istilah khalwat kini lebih masyur dengan maksud berdua-duaan antara lelaki dan perempuan di tempat yang sunyi dalam keadaan syak. Khalwat dengan maksud yang difahami umum di negara ini merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang jenayah syariah.
Menurut pensyarah di Jabatan Syariah, fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Puan Che Maryam Ahmad, asas kepada larangan berkhalwat adalah daripadsa ayat Al-Quran yang bermaksud “ Janganlah kamu menghampiri Zina”. Jelasnya lebih lanjut terdapat dua perkara yang perlu diawasi manusia iaitu, nafsu dan syaitan. Dua unsur ini menguatkan tarikan ke arah perkara-perkara yang tidak elok dan apabila seseorang itu mendedahkan dirinya dengan suasana yang memudahkan kedua-dua unsur mempengaruhi mereka maka syaitan akan memainkan peranannya.
Inilah yang menjadi asas kepada larangan membiarkan lelaki dan wanita berdua-duaan ditempat sunyi atau kawasan tertutup. Undang-undang telah dibuat untuk menghalang daripada zina bukan semata-mata melarang khalwat sahaja.
Kaedah yang digunakan oleh para ulamak ialah sad as zaraie’ atau yang bermaksud menutup jalan yang menjurus kepada keburukan. Dalam melaksanakan undang-undang ini, Islam melarang para pelaku maksiat atau khalwat mendedahkan identiti mereka yang melakukan perkara tersebut kepada umum kerana hal ini boleh mengaibkan. Larangan mengaibkan, atau seruan menutup keaiban orang lain dinyatakan secara jelas di dalam hadis Rasulullah s.a.w. sabda baginda “ Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaiban dirinya diakhirat kelak”.
Begitu juga dengan perbuatan menghendap, mengintai atau mengintip, adalah dilarang oleh Islam. Dalam kes zina contohnya, Islam telah menetapkan empat orang saksi yang terserempak dengan perbuatan itu bukannya menghendap atau mengintai tetapi secara tidak sengaja ternampak perkara terseburt berlaku. Dalam keadan ini secara logiknya, pelakuan zina yang boleh disaksikian oleh empat orang saksi secara jelas, besar kemungkinan dilakukan di tempat terbuka dan pelakunya sewajarnya dihukum.
Selain itu di dalam Islam juga terdapat hukuman Qazaf atau menuduh orang yang baik melakukan zina. Ini merupakan satu langkah untuk mencegah perbuatan tuduh-menuduh berlaku di dalam masyarakat dan mengaibkan pihak tertuduh.
Islam menetapkan empat orang saksi yang terdiri daripada lelaki yang betul-betul melihat perbuatan zina tersebut. Jika tidak dibawa saksi yang cukup, maka lelaki tersebut akan dikenakan qazaf. Undang-undang Islam menitik beratkan dua perkara iaitu pencegahan dan hukuman, sesetengah hukuman yang ditetapkan di dalam Islam seolah-olah dianggap kejam misalnya bagi penzina yang telah berkahwin dikenakan hukuman rejam. Tetapi tujuannya yang sebenar adalah untuk member peringatan kepada orang lain dan mencegah orang lain daripada berzina.
Sesungguhnya hukum Allah mempunyai sifat kegerunan yang mana apabila melaksanakannya adalah satu ibadat dan bagi mereka yang menjalaninya akan terlepas dari hukuman di akhirat kelak. Hukuman itu bukan sahaja menghalang pelakunya dan orang lain daripada membuat jenayah tersebut tetapi melindungi mereka daripada azab Allah kelak.

Rabu, 26 Ogos 2009

Assalamualaikum...

Assalamualaikum...
Ahlan wa sahlan Ramadhan Kareem....
Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini memberi lebih erti kepada kita sebagai hamba Allah yang semakin dewasa dalam merebut segala kelebihan yang ada dalam bulan ini.
Jadikan yang lepas sebagai sempadan, peringatan dan tauladan kepada kita untuk meneruskan hari esok yang masih panjang.
Tetapi, ingatlah hari esok yang dirasakan masih panjang itu adalah buat mereka yang terleka!
Ayuh kita bangun dari kedudukan yang selesa untuk kita sama-sama meneruskan baki perjuangan yang menuntut pembela kebenaran terus berjuang...
Ukhuwah fillah abadan abada....Amin...